News
Dua kali jadi ‘bidan terjun’, netizen harap Koperal ini dinaikkan pangkat
Setiap kali mendengar perkataan anggota polis, pasti kita terfikir mengenai jenayah. Namun berbeza kali ini apabila seorang anggota polis berjaya menyelamatkan seorang wanita yang mahu bersalin awal pagi kelmarin.
Koperal jadi ‘bidan terjun’
Memetik laporan Harian Metro, Koperal Mohd Zahri Ramzan yang ketika itu mahu keluar dari rumahnya di Kampung Padang Balang Hilir, ibu kota tiba-tiba didatangi seorang individu yang meminta bantuan.
Beliau yang berusia 35 tahun bergegas ke rumah wanita itu dan terkejut apabila mendapati mangsa sedang terbaring menahan kesakitan di dalam tandas yang sempit.
“Saya dapati wanita itu amat lemah dan baru melahirkan seorang bayi lelaki. Kami dimaklumkan wanita itu mulanya mengadu mahu membuang air besar sebelum melahirkan bayi tidak cukup bulan secara tiba-tiba,” katanya.
Bergegas ke hospital
Selepas mengusung keluar mangsa secara perlahan-lahan dan dbaringkan di ruang tamu rumah, dia mendapati uri bayi berkenaan masih berada di dalam rahim wanita berkenaan.
“Bimbang ia boleh membahayakan nyawa wanita itu, saya memintanya meneran supaya uri itu dapat dikeluarkan.
“Alhamdulillah, uri itu akhirnya dapat dikeluarkan sebelum dibalut dengan kain sementara menunggu ambulans tiba. Saya kemudian memangku bayi itu sebelum membersihkannya menggunakan kain,” ujarnya.
Wanita itu kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menaiki ambulans sekitar jam 8.15 pagi.
Dia yang bertugas di Bahagian Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman berkata, kejadian tersebut bukan yang pertama buat dirinya.
Ini kerana dia pernah menyambut kelahiran seorang bayi perempuan di Wangsa Maju pada Mac 2007 dengan menggunakan ilmu ketika menjadi anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Tahniah tuan! Terus buat kebaikan
Layak untuk dinaikkan pangkat
Alhamdulillah selamat dua2 nyawa
Sumber: Harian Metro (Mohd Jamilul Anbia Md Denin)
Facebook Comments